Pages

Thursday, August 30, 2012


Persepsi negatif punca pelajar tidak minat sains
30/08/2012 - 17:35:29 PM
Oleh Sabri Ahmad Cetak Emel Kawan

     MENTERI Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Amanat Tahun Baru 2012, baru-baru ini melahirkan kebimbangan mengenai kemerosotan bilangan pelajar yang mengambil mata pelajaran sains di peringkat sekolah. Masalah berkenaan perlu diberi perhatian serius kerana telah sampai ke tahap sangat kritikal walaupun banyak inisiatif diperkenalkan oleh kerajaan untuk memajukan bidang sains.   Fenomena itu bukan saja berlaku di Malaysia, malah hampir di serata dunia, termasuk di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah.
     Di Amerika contohnya, bilangan pelajar yang memohon untuk mengikuti pengajian di universiti dalam bidang sains, matematik dan teknologi kurang berbanding jumlah tempat yang ditawarkan kerana kekurangan pelajar dalam aliran berkenaan di peringkat sekolah tinggi. Masalah yang diperkatakan oleh Menteri Pengajian Tinggi itu berlaku disebabkan persepsi negatif daripada kalangan pelajar terhadap subjek sains sejak mereka masih di bangku sekolah rendah lagi. Pelajar beranggapan bahawa mata pelajaran sains dan matematik adalah sukar untuk lulus dengan cemerlang dan boleh menjejas peluang melanjutkan pengajian di universiti.
     Memandangkan sistem pembelajaran di negara ini berorientasikan peperiksaan, maka ramailah pelajar beralih kepada aliran sastera atau agama berbanding sains dengan harapan lebih cemerlang dalam peperiksaan supaya mereka dapat menyambung pengajian di universiti. Walhal tempat melanjutkan pengajian dalam bidang yang memerlukan kelulusan mata pelajaran sains lebih banyak disediakan oleh kerajaan berbanding aliran lain.
     Peluang pekerjaan yang tersedia juga lebih luas dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan yang pasaran pekerjaannya melangkau sempadan negara. Bagaimanapun, pemilihan kursus yang tidak sejajar dengan kehendak semasa menyebabkan berlaku lambakan graduan yang gagal mendapat pekerjaan bersesuaian dengan bidang pengajian yang mereka ikuti. Sebelum ini kerajaan telah menetapkan sasaran supaya 60 peratus pelajar sekolah menengah terdiri daripada mereka yang belajar dalam aliran sains. Sekolah akan bertindak sebagai pembekal calon mahasiswa kepada universiti untuk melahirkan modal insan terlatih dalam bidang sains dan teknologi bagi menjayakan agenda pembangunan negara.
     Bagaimanapun, agenda itu masih belum tercapai kerana berdasarkan kepada Kajian Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi Tahun 2020 seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi menyaksikan peratusan pelajar yang mengambil jurusan sains sejak 2007 terus menunjukkan penurunan sehingga 27 peratus pada 2012.
     Oleh itu, impian kerajaan untuk melahirkan 200,000 jurutera menjelang 2020 masih jauh daripada jangkauan kerana nisbah 60:40 pelajar sains dan teknologi berbanding aliran lain di universiti belum tercapai. Bagi mengatasi masalah kekurangan calon mahasiswa yang memohon mengikuti pengajian dalam bidang sains, matematik dan teknologi di institusi pengajian tinggi (IPT), jumlah pelajar yang lulus dengan cemerlang dalam subjek berkenaan di peringkat sekolah perlu diperbanyakkan. Mahasiswa yang mempunyai asas sains dan matematik yang kukuh di peringkat sekolah mampu menjadi graduan yang cemerlang dan menyumbang kepada penghasilan tenaga kerja profesional berkualiti.
     Sebagai negara yang sedang menuju ke arah negara maju, Malaysia memerlukan ramai sumber tenaga mahir dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan. Oleh itu, pihak yang berkenaan perlu mencari alternatif baru agar dapat menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran sains, matematik dan teknologi. Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah membangunkan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dapat menjadikan mata pelajaran berkenaan lebih menarik dan menyeronokkan.
     Masalah pelajar kurang meminati mata pelajaran sains, matematik dan teknologi turut mendapat perhatian kalangan ahli akademik dan pembuat dasar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Baru-baru ini, UTM dan Institut Teknologi Massachusetts (MIT) bekerjasama untuk menyediakan program bagi membantu kerajaan menjadikan pendidikan sains, matematik dan teknologi lebih kreatif dan inovatif. Bagi tujuan itu, Pengarah Pusat Asas Sistem Kejuruteraan dan Konsortium Rangkaian Pembelajaran Antarabangsa MIT, Prof Richard Larson telah dijemput untuk menyumbangkan idea. Beliau ialah pengasas program Gabungan Pembelajaran Sains atau Matematik (Blended Learning Open Source Science or Math - BLOSSOMS)) yang diperkenalkan pada 2002.
     BLOSSOMS ialah sumber pembelajaran terbuka yang dibiayai oleh beberapa yayasan bukan kerajaan di Amerika Syarikat membabitkan kaedah pembelajaran sains, matematik dan teknologi menggunakan video yang diharap dapat mengatasi masalah pelajar kurang minat terhadap bidang sains dan teknologi di negara ini. Program berkenaan yang telah dilaksanakan di beberapa negara seperti Arab Saudi, Pakistan, Jordan, Lebanon, India, China serta di sekitar Boston mampu melahirkan pelajar yang berfikir secara lateral dan kreatif.
     Dalam pada itu, pihak berkuasa di negara Scandinavia menjemput jurutera ke sekolah untuk mengajar subjek berkaitan kejuruteraan bagi menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran berkenaan. Sementara itu, Pemegang Kerusi Pembelajaran Berdasarkan Masalah dalam Pendidikan Kejuruteraan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), Prof Dr Anne Kolmos, berkata usaha perlu ditingkatkan bagi menarik lebih ramai pelajar, terutama wanita agar tertarik kepada bidang kejuruteraan yang dianggap ‘kotor’.
     Oleh itu, sebagai negara yang sedang berusaha melengkapkan diri menjadi negara maju, Malaysia memerlukan ramai calon mahasiswa yang cemerlang dalam bidang sains, matematik dan teknologi. Sesungguhnya, masalah pelajar kurang minat terhadap subjek berkenaan perlu diatasi segera kerana seperti kata Menteri Pengajian Tinggi, sains adalah asas kepada inovasi dan inovasi pula menjadi asas teknologi dan tranformasi ekonomi negara. Penulis ialah Penolong Pendaftar Pejabat Hal Ehwal Korporat, Universiti Teknologi Malaysia

Tablet jendela
30/08/2012 - 10:30:29 AM
Zef Othman | zefbh@bharian.com.my

     PENGALAMAN 30 tahun Microsoft Corp menghasilkan perkakasan dan sistem perkomputeran moden menjadi landasan utama kemunculan produk terbarunya iaitu tablet Surface untuk pasaran global. Bagi Surface, Microsoft mengetengahkan tiga ciri utama iaitu reka bentuk menepati kehendak pengguna, pengalaman menggunakan windows yang mengasyikkan dan ekosistem perisian serta rakan niaga perkakasan yang diperluaskan. Surface yang dihasilkan dalam dua versi iaitu Windows RT iaitu sistem yang menggunakan rekaan berasaskan cip sama seperti produk tablet lain di pasaran dan sistem operasi Windows 8 Pro, bertujuan menandingi komputer notebook ringan di pasaran.
     Rekaan yang dihasilkan jurutera Microsoft itu mengetengahkan visi unik syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dengan menggabungkan fungsi hiburan dan kreativiti pada satu produk. Pelaburan utama diketengahkan Microsoft dapat dialami pengguna khususnya penggunaan perisian yang mampu menyokong reka bentuk dan aplikasi terkini. Tablet Surface didatangkan dengan port USB dan ciri nisbah 16:9, iaitu standard teknologi industri untuk Definisi Tinggi (HD). Kasing Surface menggunakan bahan Vapor Magnesium, iaitu gabungan bahan bagi memudahkan ia dibentuk pada ukuran nipis 65 milimeter. Selain itu, penggunaan Pelindung Sesentuh 3 milimeter mampu menepati keperluan antara muka berteraskan inovasi manusia dan komputer menerusi teknologi kepekaan tekanan.
     Kepada peminat produk tablet, Surface dibangunkan dengan keupayaan binaan sokongan bagi membolehkannya berdiri sendiri. Mengulas sistem operasi Surface, model Windows RT disokong prosesor ARM, manakala Windows 8 Pro dilengkapi dengan sistem prosesor generasi ketiga Intel Core. Secara keseluruhan, Surface diperkenalkan berasaskan konsep pantas selain dilengkapi sistem antara muka yang lancar dan tangkas bagi tujuan navigasi optimum.

PM: Tiada sebab untuk pertikai tema 'Janji Ditepati'
8:57PM Ogos 30 2012
   
      Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan tiada sebab untuk sesiapa mempertikaikan tema sambutan Hari Kebangsaan 'Janji Ditepati' kerana ia merupakan asas yang mulia. Beliau berkata 'Janji Ditepati' merupakan prinsip dalam agama Islam, sesuatu yang universal dan sebagai orang Islam, perlu untuk mengikat janji. "Tiada sebab untuk pertikai tema ini melainkan orang itu tak biasa tunaikan janji. Saya akan pertahan prinsip ini sebagai teras asas yang mulia. "Janji dengan Allah adalah yang terbesar. Janji sesama manusia, orang akan percayakan kita kalau janji itu ditunaikan," katanya ketika berucap di Majlis Aidilfitri 1Malaysia Bersama Perdana Menteri di perkarangan Stadium Darul Aman di Alor Star hari ini.
     Perdana Menteri berkata soal janji juga bukanlah terhad kepada kerajaan atau wakil rakyat semata-mata, malah rakyat biasa turut perlu berjanji. Najib berkata sekiranya mahukan negara aman, stabil dan bertambah makmur, rakyat mesti berjanji untuk menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran. "Semua pihak ada janji masing-masing, pada Allah, manusia dan kerajaan, maka manusia akan bertambah maju dan berjaya. Sebagai kerajaan kalau berjanji, perlu ditunaikan," katanya.
     Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Mahathir.  
     Bernama melaporkan majlis yang dianjurkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) negeri itu dihadiri lebih 50,000 orang. Setiap Umno bahagian dan parti komponen BN turut mengambil bahagian dengan menyediakan gerai pelbagai jenis makanan. - Bernama

Erti Kemerdekaan .
    
     Kemerdekaan yang dikecapi bermakna kita bebas bukan sekadar daripada penjajahan fizikal malahan mencakupi spiritual dan mental. 
     Erti kemerdekaan yang dinikmati ialah membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing seterusnya berusaha bangkit sebagai bangsa bermaruah. Kekuatan politik untuk memperolehi kemerdekaan perlu didokong oleh penguasaan ilmu pengetahuan untuk mempercepatkan proses pembangunan negara.               Menyorot kembali perjuangan kemerdekaan bangsa Melayu sejak 1511 hingga ke Perang Dunia Kedua 1941-1945, negara ini telah mengalami 3 peringkat perjuangan. Peringkat pertama, secara militan atau gerila, perjuangan pondok yang dipelopori oleh golongan ulama dan kemudian golongan nasionalisma yang berjuang melalui mata pena.
     Ketiga-tiga kategori perjuangan ini berjalan berasingan sehinggalah pada cadangan untuk mengadakan Kongres Melayu pertama pada 1-4 Mac 1946 diadakan dan menyatukan ketiga-tiga kategori perjuangan ini dengan lebih tersusun dan teratur. Terbentuknya UMNO semasa persidangan tersebut telah memantapkan lagi perjuangan ke arah menuntut kemerdekaan negara. Menjadi tanggungjawab rakyat generasi baru hari ini untuk mengenang dan menghayati erti kemerdekaan. Tugas kita pada hari ini adalah memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan.
     Tanpa ilmu pengetahuan, kemerdekaan yang baru sahaja diperolehi amat rapuh. Rakyat perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran untuk memperkasakan bangsa yang merdeka. Sementelah seluruh rakyat Malaysia telah melalui pelbagai cabaran getir, kemerdekaan perlu dihayati dan diisi dengan memelihara kekuatan politik, ekonomi, sosial, agama, bahasa, budaya dan seni warisan bangsa. Segala jurang pembangunan, ekonomi dan sosial di kalangan kaum perlu dirapatkan dan diperkukuhkan agar saling menikmati erti kemerdekaan.
     Perpaduan yang terbina semenjak usaha memperolehi kemerdekaan perlu diteruskan dan disemai supaya rakyat menjadi semakin kukuh. Bumi bertuah ini telah melahirkan ramai pemimpin berkaliber ketika negara bergelut dengan pelbagai masalah seperti kemiskinan, taraf pendidikan yang rendah, perpaduan kaum bahkan ancaman komunis ketika Darurat yang diisytiharkan sejak 1948 lagi.
     Dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru 1970-1990 (DEB), Rancangan Buku Hijau dan Buku Merah, rancangan mempertingkatkan penguasaan ekonomi penduduk bumiputera dan jurang perbezaaan antara kaum dapat diharmonikan. Dasar pendidikan bermula dari Penyata Razak dan Rahman Talib hingga kini berjaya membebaskan diri rakyat daripada belenggu kejahilan kepada masyarakat moden.
     Beberapa dasar negara telah diperkenalkan seperti Dasar Pandang ke Timur, Dasar Perindustrian, Dasar Pensyarikatan dan Wawasan 2020 telah menjadikan Malaysia negara maju. Kemerdekaan menjadikan kita bangsa yang merdeka dan berdaulat serta bebas menyusun hala tuju sendiri. Kita bebas dari sudut ekonomi, politik, ketenteraan, budaya dan agama. Bebas dalam erti kata mengikut acuan dan kemahuan kita untuk membentuk jati diri bangsa Malaysia yang berdaulat.
     Menyelami erti kemerdekaan dengan menyusuri lembaran sejarah bangsa akan menyedarkan seluruh rakyat betapa perjuangan kemerdekaan tidak pernah terhenti. Seharusnya kegemilangan ini menjadi pemangkin kepada generasi baru negara untuk meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai. Pengorbanan generasi terdahulu perlu menjadi inspirasi untuk kita terus berusaha gigih menjadi bangsa yang maju dan moden.

Wednesday, August 29, 2012

Refleksi

Nama : Jamaluddin bin Abdullah
No.K/P : 670602-02-5057
   
    Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala pujian bagi Allah S.W.T, pemilik sekalian alam dan selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda, serta sesiapa sahaja yang mengikuti perjuangan mereka dengan ikhlas hinggalah ke hari kiamat. Sepenuh kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurniaNya dapatlah saya mengetahui tentang kursus ini dengan sempurna. Semoga ianya dapat memberikan manfaat kepada kita semua dalam menelusuri kehidupan di muka bumi Allah ini.
   Ucapan terima kasih juga kepada sahabat-sahabat saya . Alhamdulillah, saya mendapat kerjasama yang sepenuhnya daripada mereka dalam mempelajari secara mendalam tentang kursus ini. Perbincangan antara sahabat tetap berterusan walaupun kami berada jauh antara satu sama lain. Setelah berbincang bersama pensyarah, iaitu Bukhari bin Shafie tentang BMM 3105 , saya mendapat sedikit sebanyak maklumat untuk menyediakan blog saya dengan sempurna.
   Dalam pembelajaran tersebut pensyarah menekankan kepada topik-topik yang sudah pun dipelajari dan ada kaitannya antara satu sama lain. Dengan kata lain, ini mewujudkan kesinambungan bagi setiap tajuk supaya saya dapat mengaplikasikannya sebagai seorang pendidik yang berjaya suatu hari nanti. Secara tidak langsung, pembelajaran dan tunjuk ajar yang diberikan tersebut juga dapat memenuhi objektif pembelajaran pensyarah selama ini.
   Hal ini demikian, tajuk-tajuk yang diberikan juga dapat melatih saya dan sahabat-sahabat lain dalam pembinaan blog. , saya dapat juga berbincang antara satu sama lain bagi menambahkan pengetahuan yang sedia ada selama ini. Saya dapat juga belajar dan menambahkan ilmu pengetahuan yang sedia ada, misalnya dalam pembinaan blog yang memainkan peranan penting dalam mendapatkan bahan untuk pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
   Akhir sekali, Tanpa bantuan daripada rakan seperjuangan, para pensyarah dan rakan-rakan kelas tidak mungkin saya dapat menyempurnakan kursus ini. Saya berharap agar kursus ini dapat menjadi yang terbaik dan agar semuanya memenuhi kehendak pensyarah. Semoga usaha dan bakti yang telah dicurahkan ini diterima dan diberkati Allah SWT.