Pages

Thursday, August 30, 2012


Persepsi negatif punca pelajar tidak minat sains
30/08/2012 - 17:35:29 PM
Oleh Sabri Ahmad Cetak Emel Kawan

     MENTERI Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Amanat Tahun Baru 2012, baru-baru ini melahirkan kebimbangan mengenai kemerosotan bilangan pelajar yang mengambil mata pelajaran sains di peringkat sekolah. Masalah berkenaan perlu diberi perhatian serius kerana telah sampai ke tahap sangat kritikal walaupun banyak inisiatif diperkenalkan oleh kerajaan untuk memajukan bidang sains.   Fenomena itu bukan saja berlaku di Malaysia, malah hampir di serata dunia, termasuk di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah.
     Di Amerika contohnya, bilangan pelajar yang memohon untuk mengikuti pengajian di universiti dalam bidang sains, matematik dan teknologi kurang berbanding jumlah tempat yang ditawarkan kerana kekurangan pelajar dalam aliran berkenaan di peringkat sekolah tinggi. Masalah yang diperkatakan oleh Menteri Pengajian Tinggi itu berlaku disebabkan persepsi negatif daripada kalangan pelajar terhadap subjek sains sejak mereka masih di bangku sekolah rendah lagi. Pelajar beranggapan bahawa mata pelajaran sains dan matematik adalah sukar untuk lulus dengan cemerlang dan boleh menjejas peluang melanjutkan pengajian di universiti.
     Memandangkan sistem pembelajaran di negara ini berorientasikan peperiksaan, maka ramailah pelajar beralih kepada aliran sastera atau agama berbanding sains dengan harapan lebih cemerlang dalam peperiksaan supaya mereka dapat menyambung pengajian di universiti. Walhal tempat melanjutkan pengajian dalam bidang yang memerlukan kelulusan mata pelajaran sains lebih banyak disediakan oleh kerajaan berbanding aliran lain.
     Peluang pekerjaan yang tersedia juga lebih luas dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan yang pasaran pekerjaannya melangkau sempadan negara. Bagaimanapun, pemilihan kursus yang tidak sejajar dengan kehendak semasa menyebabkan berlaku lambakan graduan yang gagal mendapat pekerjaan bersesuaian dengan bidang pengajian yang mereka ikuti. Sebelum ini kerajaan telah menetapkan sasaran supaya 60 peratus pelajar sekolah menengah terdiri daripada mereka yang belajar dalam aliran sains. Sekolah akan bertindak sebagai pembekal calon mahasiswa kepada universiti untuk melahirkan modal insan terlatih dalam bidang sains dan teknologi bagi menjayakan agenda pembangunan negara.
     Bagaimanapun, agenda itu masih belum tercapai kerana berdasarkan kepada Kajian Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi Tahun 2020 seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi menyaksikan peratusan pelajar yang mengambil jurusan sains sejak 2007 terus menunjukkan penurunan sehingga 27 peratus pada 2012.
     Oleh itu, impian kerajaan untuk melahirkan 200,000 jurutera menjelang 2020 masih jauh daripada jangkauan kerana nisbah 60:40 pelajar sains dan teknologi berbanding aliran lain di universiti belum tercapai. Bagi mengatasi masalah kekurangan calon mahasiswa yang memohon mengikuti pengajian dalam bidang sains, matematik dan teknologi di institusi pengajian tinggi (IPT), jumlah pelajar yang lulus dengan cemerlang dalam subjek berkenaan di peringkat sekolah perlu diperbanyakkan. Mahasiswa yang mempunyai asas sains dan matematik yang kukuh di peringkat sekolah mampu menjadi graduan yang cemerlang dan menyumbang kepada penghasilan tenaga kerja profesional berkualiti.
     Sebagai negara yang sedang menuju ke arah negara maju, Malaysia memerlukan ramai sumber tenaga mahir dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan. Oleh itu, pihak yang berkenaan perlu mencari alternatif baru agar dapat menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran sains, matematik dan teknologi. Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah membangunkan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dapat menjadikan mata pelajaran berkenaan lebih menarik dan menyeronokkan.
     Masalah pelajar kurang meminati mata pelajaran sains, matematik dan teknologi turut mendapat perhatian kalangan ahli akademik dan pembuat dasar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Baru-baru ini, UTM dan Institut Teknologi Massachusetts (MIT) bekerjasama untuk menyediakan program bagi membantu kerajaan menjadikan pendidikan sains, matematik dan teknologi lebih kreatif dan inovatif. Bagi tujuan itu, Pengarah Pusat Asas Sistem Kejuruteraan dan Konsortium Rangkaian Pembelajaran Antarabangsa MIT, Prof Richard Larson telah dijemput untuk menyumbangkan idea. Beliau ialah pengasas program Gabungan Pembelajaran Sains atau Matematik (Blended Learning Open Source Science or Math - BLOSSOMS)) yang diperkenalkan pada 2002.
     BLOSSOMS ialah sumber pembelajaran terbuka yang dibiayai oleh beberapa yayasan bukan kerajaan di Amerika Syarikat membabitkan kaedah pembelajaran sains, matematik dan teknologi menggunakan video yang diharap dapat mengatasi masalah pelajar kurang minat terhadap bidang sains dan teknologi di negara ini. Program berkenaan yang telah dilaksanakan di beberapa negara seperti Arab Saudi, Pakistan, Jordan, Lebanon, India, China serta di sekitar Boston mampu melahirkan pelajar yang berfikir secara lateral dan kreatif.
     Dalam pada itu, pihak berkuasa di negara Scandinavia menjemput jurutera ke sekolah untuk mengajar subjek berkaitan kejuruteraan bagi menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran berkenaan. Sementara itu, Pemegang Kerusi Pembelajaran Berdasarkan Masalah dalam Pendidikan Kejuruteraan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), Prof Dr Anne Kolmos, berkata usaha perlu ditingkatkan bagi menarik lebih ramai pelajar, terutama wanita agar tertarik kepada bidang kejuruteraan yang dianggap ‘kotor’.
     Oleh itu, sebagai negara yang sedang berusaha melengkapkan diri menjadi negara maju, Malaysia memerlukan ramai calon mahasiswa yang cemerlang dalam bidang sains, matematik dan teknologi. Sesungguhnya, masalah pelajar kurang minat terhadap subjek berkenaan perlu diatasi segera kerana seperti kata Menteri Pengajian Tinggi, sains adalah asas kepada inovasi dan inovasi pula menjadi asas teknologi dan tranformasi ekonomi negara. Penulis ialah Penolong Pendaftar Pejabat Hal Ehwal Korporat, Universiti Teknologi Malaysia

No comments:

Post a Comment